Daripada penulis
Kisah-kisah
yang ada di dalam coretan ini ditulis melalui pengalaman dan penghayatan diri
saya dari dulu hingga kini. Namun semuanya diusahakan menjadi mudah untuk
pembaca bagi menghayati dan mengerti.
Semua
kisah yang di inspirasi daripada kisah benar diri saya sendiri, ada yang kisah
bermula dari suka-suka boleh menjadi duka dengan sepantas cuma yang bertujuan
menjadi bahan bacaan mudah kepada pembaca.
Segala
kekurangan yang ada di dalam coretan pada pertama kali ini, saya memohon
keampunan kepada pembaca. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah
s.w.t. dan yang kurang itu adalah daripada kekurangan saya sendiri sebagai
seorang hamba yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Selamat
membaca.
Nostalgia
Perlakuan Tak Tertib
Sebagai
tanda kekurangan saya pada masa lalu, saya sering mengingatkan diri saya
berkenaan kisah ini. Walaupun saya tunggang-langgang bagi mengingatkan kisah
itu, dan pada kebanyakan waktu adanya yang saya terlupa, namun saya tetap
mencuba. Ia bukanlah kisah apa-apa tapi fikiran ini terasah tajam mencucuk hati
bagi mengingatkan kisah itu agar tidak mengulanginya di kemudian hari.
Kisah dari anak kampung
Sepanjang
perjalanan hidup dua puluh empat tahun ini, saya dibesarkan di sebuah keluarga
sederhana yang berasal daripada Sandakan, Sabah, anak keenam daripada lapan orang
adik - beradik. Sememangnya kedua ibu
bapa yang mempunyai seramai lapan orang anak bukan mudah untuk menyediakan
segala keperluan makan minum, pendidikan, dan sebagainya terutama lagi arwah
ayah bekerja sebagai tukang R3 di Jabatan Perhutanan Sabah. Namun apakan daya,
seorang ayah dan ibu sanggup berhempas pulas saban hari demi menyediakan
kehidupan yang selesa kepada anak – anak. Namun setiap keluarga mempunyai
pasang surutnya menjalani norma – norma kehidupan, arwah ibu meninggal
menghidap SLE dan meninggal ketika saya berusia 14 tahun, sementara ayah pada
ketika itu baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan keluarga baru. Manakala
arwah ayah meninggal ketika Semester Pertama Tahun 2 di UKM. Demi sebuah masa
depan yang tak pasti, kedua kakak dan abang saya terpaksa berhenti belajar dari
Tingkatan 6 bagi mencari nafkah bagi membiayai pendidikan kami yang masih kecil
lagi dan tinggal menumpang di rumah nenek di Kampung Karamunting, Sandakan.
Terlalu sukar untuk dilalui, namun bila dikenang kembali ianya mengajar saya
menjadi lebih matang dan berusaha gigih tanpa perlu bergantung harap dengan
sesiapa. Di menengah atas, saya menyibukkan diri dengan mengisi masa dengan mengikuti
aktiviti persatuan kokurikulum dan bersukan bagi mendapatkan elaun sampingan jika
menjadi atlet Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah Malaysia, dan akhirnya
selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya berjaya diterima menyambung
pengajian sebagai pelajar diploma Politeknik Kota Kinabalu 2008 sehingga 2011
dan membuat pinjaman PTPTN. Selepas habis pengajian, saya mengisi masa lapang
selama enam bulan menjadi pelatih kursus jahitan di Giatmara Sandakan dan
selepas mengikuti kursus berkenaan saya bekerja disebuah syarikat swasta yang
dikenali sebagai Aros Design Sdn. Bhd. di Sandakan, sebagai kerani yang
ditawarkan gaji 600 sebulan. Hakikatnya walaupun mendapat kerja berkenaan
dengan berbekalkan gaji sedemikian, tidaklah cukup untuk menampung perbelanjaan
sara hidup dan kos pengangkutan ke tempat kerja. Namun saya kuatkan semangat,berazam
dan berusaha sampai tak kenal erti putus asa untuk menjadi manusia yang lebih
penyabar dan berusaha mengubah nasib diri. Saya lebih gemar hidup berdikari dan
tidak meminta sumbangan wang dari abang- abang dan kakak-kakak, oleh itu dengan
bermodalkan dana bantuan BR1M pada penghujung tahun 2011 saya membeli sebuah mesin
jahit global, dengan tujuan membantu saya menambah pendapatan sampingan untuk
menerima tempahan jahitan dari rakan-rakan. Allah maha mengetahui. Dia akan
menguji hamba-Nya pada tahap yang hamba-Nya mampu menanggung, dan Allah sudah
memberikan kita cara mencari jawapannya ada dalam konsep KESABARAN, dan untuk
itu saya perlu kuat dan sabar mengharungi segala ujian yang perlu ditempuhi.
Alhamdulillah pada Julai 2012 saya berjaya mendapat tawaran menyambung
pengajian ke UKM dalam bidang Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, dengan
berbekalkan bantuan tiket penerbangan dari Zakat Sabah dan RM 1000 bagi dana
yuran pengajian.
Hakikatnya,
dana tersebut tidaklah cukup untuk saya melunaskan segala perbelanjaan
kemasukan ke universiti, kerana dengan hanya bekerja setengah tahun dan segala
simpanan saya dibelanjakan untuk kelengkapan barang dapur, kos pengangkutan,
dan melunaskan perbelanjaan bil elektrik dan air, membuatkan saya rasa
tertekan. Kiranya saya boleh putarkan masa, duit pinjaman PTPTN yang saya
perolehi seharusnya saya belanja dan simpan dengan sebaik mungkin, tapi akibat
mengikut nafsu muda memegang banyak duit sendiri, tiga tahun berada di
Politeknik acapkali pada hujung minggu keluar beramai-ramai dengan rakan-rakan
lain untuk menghabiskan duit menonton wayang, makan di restoran-restoran yang
saya tak pernah rasa dan pergi semasa kecil, membeli-belah, dan akhirnya akibat
amalan membazir berkenaan membuatkan saya tidak mempunyai simpanan untuk
menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjanamuda. Nasib sahaja punya rezeki
daripada sumbangan Zakat Sabah. Andai masa boleh kembali seperti dahulu, ingin
saya simpan wang pinjaman PTPTN saya daripada habis begitu sahaja, sebagai
manusia saya juga tak pernah lari daripada melakukan kesilapan, dan daripada
kesilapan tak tertib yang saya lakukan itu seharusnya saya jadikan titik tolak
agar tidak mengulanginya kembali.
Lapangan Terbang
Melempar
senyuman ke luar jendela adalah antara kepandaian saya. Mudah bukan untuk kita
berbuat begitu, kerana hati kian dihimpit ribuan rindu mengingat balik ke
kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri disamping adik-beradik yang
lain, walaupun ayah dan ibu telah pergi. Hati harus ceria dan berbunga.
Kisahnya bermula daripada
pendaftaran masuk beg ke kaunter. Seorang wanita tanpa berhijab yang saya
rasakan lingkungan 30-an memanggil untuk datang ke kaunter berkenaan. Itu yang
dia terjemahkan dalam bahasa tubuhnya. Dia menanyakan boarding pass dan kad pengenalan, yang saya berikan gambar barcode dari smart phone dan kad pengenalan. Kononnya tidak mempunyai kesempatan
untuk mencetak kertas penerbangan berkenaan, walhal bagi menjimatkan kos dan
menggunakan kecanggihan teknologi terkini. Beliau mengarah untuk meletakkan
bagasi berkenaan, dengan rasa gagahnya saya letakkan bagasi berkenaan seperti
yang diarahkan.
“Awak dah scan luggage belum?” soal wanita berkenaan. Berkerut dahi terkesima
seketika, dan bermonolog dalam hati “ Apasal aku boleh lupa scan dulu”. Lantas
mengambil bagasi semula masuk ke dalam troli, dengan rasa cuak dan malu saya
berkata “ Maaf, saya lupa”, “ Takpe, awak scan dulu kemudian datang sini
semula”. Selang beberapa minit kemudian, saya kembali ke kaunter yang sama
dengan wanita berkenaan serta menyerahkan barcode, kad pengenalan dan
meletakkan bagasi tanpa dipinta.
Sememangnya berat bagasi yang saya
beli ialah 30 kg, namun berat barang-barang di bagasi saya telah melebihi dari
yang sepatutnya iaitu 31.2 kg. Wanita berkenaan tidak memberi saya peluang
untuk mengurangkan barang-barang yang ada di dalam bagasi itu, hasrat saya agar
tidak perlu membayar caj tambahan, tapi
apakan daya disebabkan beliau tidak ingin melengahkan masa, terpaksa saya
hulurkan not lima puluh ringgit bagi membayar caj tambahan bagasi. Akibatnya
saya rasa tertekan, rancangan saya bagi berjimat tidak mencetak boarding pass terpaksa juga
membelanjakan RM 50 untuk mematuhi prosedur penerbangan 1-10 kg caj sebanyak RM
50.00. Pengajarannya, saya berpesan pada diri sekiranya ingin berlepas menaiki pesawat
saya perlu mencetak boarding pass,
dan menimbang bagasi terlebih dahulu dan mengikut tertib yang sepatutnya bagi
tidak menyusahkan diri di kemudian hari.