Wednesday, December 12, 2012

Cerita hari ne 12.12.12 : Wanita


Soalan
Saya pelajar sebuah IPT yang menetap di asrama yang bercampur dengan wanita bukan Islam. Menjadi satu bebanan bagi saya dan kawan2 saya untuk memelihara aurat dalam keadaan orang kafir tinggal sebilik dangan kami.

Jadi saya ingin mendapat penjelasan dari ustazah tentang hokumnya jika kami mendedahkan aurat zahir kami kerana keadaan terpaksa.


Jawapan

Saya sering ditanyakan masalah ini,terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Kerana ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.
Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.
Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.
Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya :
“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.
Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.
Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yang mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud:
Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.
Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.
Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.
Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadapan wanita bukan Islam diatas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.
Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.
Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.
Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.
Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.
Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang sulit-sulit kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.
Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.
WALLAHU ‘A’LAM
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad.

Friday, December 7, 2012

Cerita Ku : Banyak Membantu

Isnin (MULA2 BERKENALAN di stesen ktm)
Mamat : Assalamualaikum.. Hai awak, saya nak berkenalan dengan awak boleh tak..?
Minah : Waa’laikumussalam.. Boleh, tapi kene jumpa mak bapak aku dulu.. Minta izin.. Kalau mak bapak aku bagi, aku on je..
Mamat : Waaa.. Boleh tahan ek awak ni.. Ok saya jumpa mak bapak awak.. Bagi alamat rumah awak..
Minah : Ni i/c aku, cepat la salin alamat aku..
Mamat : Tangan menyalin sambil tersenyum2 (dalam hati : Ceh malas betul punya minah.. Takpe2.. Waa nama NURUL IMAN.. Lembut je nama tapi perangai brutal tol..)
Selasa (SAAT SI MAMAT JUMPA MAK BAPAK SI MINAH)

Mamat
: Assalamulaikum pak cik mak cik.. Sihat..?
Pakcik & Makcik : Waa’laikumussalam.. Alhamdulillah kami sihat.. Tapi, anak ni siape..?
Mamat : Saya MOHD AIMAN.. Saya datang jumpa makcik dengan pakcik ni sebab nak mintak izin nak berkenalan dengan anak pakcik yang bernama NURUL IMAN..
Pak cik : Alhamdulillah.. Ade lagi pemuda yang gentleman macam kamu ni lagi ye zaman sekarang.. Sebenarnye, kamu la pemuda anyg pertama datang mintak izin sebelum nak berkenalan dengan anak pak cik NURUL IMAN tu..
Mamat : (Dalam hati : waaa bangge aku sebagai seorang lelaki sejati..)
Mak cik : Sebelum2 ni tak de siape yang berani datang.. katenye si NURUL IMAN tu garang sangat orang nye.. Sebenarnya tak.. Si NURUL IMAN tu orang nye lembut sangat, sopan, budi bahasa, rajin dan agama nye pun baik..
Mamat : Sambil angguk2 dan tersenyum2 mendengar cerita mak bapak minah (dalam hati : ceh.. Lembut ke..? Sopan ke..? Budi bahasa ke..? Takde gaye langsung.. Takpe2.. Wait n c minah..)
Pakcik : Pak cik izinkan anak berkenalan dengan anak pakcik NURUL IMAN…Mamat : Terima kasih pakcik makcik..
Rabu (BILA DAH DAPAT KEIZINAN..)
Mamat : Awak parents awak dah izinkan saya berkenalan dengan awak..
Minah : Sso what..? Ade aku kisah..
Mamat : Tersenyum dalam kebengangan (dalam hati : eh2.. Sabar hati.. Sabar…)
Minah : Wei aku nak jumpa mak bapak ko pulak.. Ni fon aku, ko salin kan alamat ko.. Pastu save message..
Mamat : Awak nak wat pe jumpa ibu ayah saya..? (sambil tangan laju menaip alamat umah dan save message)
Minah : Yang ko sibuk kenape..? Macam mak nenek.. Banyak tanye.. Esok ko jangan ade dekat umah dari jam 11 a.m sampai jam 12 p.m, ko merayap la kemane2 pun… Kalau ade gak kat umah, aku bakar ko hidup2 depan mak bapak ko.. Paham..?
Mamat : Ok2.. Awak, saya nak no. tepon awak..? Mane lah tau lkaau rindu2 nanti boleh calling2..
Minah : Ooiiitt.. Geli aku.. Rindu2 ingat aku ni bini ko ke..? Nak termuntah aku dengar.. Ko call je 999 mintak no. tepon aku kat dorang.. Kompem dapat.. Dapat pelempang.. Hahahahaha..
Mamat : Senyum jela (dalam hati : eieieieieieieieieeieiieieie… Geram nye aku.. Takpe2.. Sabar hati.. Sabar)

Khamis ( APABILA MAMAT BALIK KERUMAH SELEPAS JAM 12 pm)


Ibu : MOHD AIMAN.. Sampai hati senyap2 ye.. Taknak kongsi langsung kat ibu ngan ayah ye..
Mamat : Apa ibu cakap ni..? Aiman tak paham la.. (dalam kepale sambil memikir apa sebenarnye telah terjadi)
Ayah : MOHD AIMAN.. Jangan nak main nyorok2 lah kami dah tau.. Tadi jam 11, GIRLFRIEND kamu datang.. Ayah berkenan lah kalau dia jadi menantu ayah..
Ibu : Ibu pun setuju.. Cantik, sopan, budi bahasa, pandai masak, pandai amik hati orang tua.. Seronok ibu kalau dapat menantu yang boleh jadi kawan ibu.. Kalau kami masuk meminang NURUL IMAN minggu depan cane MOHD AIMAN.. Kamu setuju..?
Mamat : Kalau ayah dengan ibu setuju dan suka, terus kan jela niat nak masuk minang NURUL IMAN tu… (dalam kebingungan : Sejak bile pulak aku ade GF ni.. GIRLFRIEND yang dicakapkan oleh ayah dan ibu adalah minah a.k.a NURUL IMAN.. peerrrrrr.. Gila la aku dah lah tak kenal sape minah tu.. Brutal pulak tu tetibe je ibu ayah nak wat menantu.. Tak pe.. Jalan je.. Ade sesuatu kat NURUL IMAN tu sampai ibu dengan ayah pun suka.. Hihihi)

Jumaat (HALAL & HARAM)
Mamat : Awak, minggu depan ibu ayah saya nak masuk meminang awak.. Takpe ke awak..?
Minah : Ko setuju ke mak bapak ko minang aku..?
Mamat : Setuju
Minah : Dah ko setuju, wat pe tanye aku lagi.. Ape la.. Cume aku nak kalau kite b’tunang aku cume nak barang hantaran telekung, sejadah dan al – quran yang ko khatam kan je.. Duit hantaran ikut suke ko nak bagi berape.. Aku tak kisah.. 10 sen pun aku terima.. Pastu 2 minggu je bertunang dan pastu kawin.. Dah kite tutup kes ni..
Mamat : Amboi dasyat tol awak ni.. Awak ni garang la tapi sweettt.. ( Sambil tangan mamat nak pegang tangan minah)
Minah : Oooiiittttttttt setan.. Kuar la ko dari badan mamat ni.. Ko tau tak HARAM sentuh orang yang bukan mahram selagi ko tak lafaz “AKU TERIMA NIKAHNYA” selagi tu ko HARAM nak sentuh aku.. Ko ade wudu’ tak..?
Mamat : Takde.. Nak wat pe..?
Minah : Ko g amik sekarang.. Cepat la..
Mamat : Merungut dalam hati sambil kaki melangkah mencari paip untuk berwudu’ (eiei minah ni cube la cakap sopan sikit ngan aku.. Garang macam singe.. Singe pun tak macam dia..)

SEKEMBALI MAMAT DARI MENGAMBIL WUDU’
Mamat : Awak, saya dah amik wudu’.. Awk nak saya buat ape..?
Minah : Diam la.. Banyak bunyi la ko ni.. Nah amik ni AL-QURAN.. Ni HALAL untuk ko pegang 24 jam pun, cium, pelok pun boleh.. Pahale bergande 1000x kalau ko bace.. Ha… Aku nak ko hafaz juzu’ 30.. Minggu depan kita tunang aku tau ko da hafaz semua surah dalam juzu’ 30 tu..

Jumaat (SEMINGGU SELEPAS BERTUNANG)
Mamat : Awak ape kate kite tukar panggilan.. Saya panggil awak SAYANG dan awak panggil saya ABANG..
Minah : Ooiiiittt.. Geli aku nak panggil ko abang.. ABANG tu hanya SUAMI aku je.. Ko tu bukan suami aku lagi.. Baru tunang nak gempak2.. Bla la wei… Ha daripada ko dok ngarot yang bukan2, ko da hafaz lom juzu’ 30..?
Mamat : Emmmmmmm.. Dah2.. Nape..?
Minah : Ha.. Ha cube bace kat aku ape yang ko hafaz..
Mamat : (Dengan mulai dengan surah al – fatihah dan seterusnye membace semua surah juzu’ 30 tu sampai habis..)
Minah : Alhamdulillah.. Pas ni ko bace pulak makne2 surah dalam juzu’ amma tu.. Minggu depan aku nak dengar ko bercerite depan aku…
Mamat : Daa macam peserte pertandingan hafazan dan bercerite pulak (cakap dalam nada slow)
Minah : Ooiitt ko kutuk aku ek..? Takpe2..
Mamat : Mane ade.. Awak memang cantik comel..
Minah : Dah2.. Jangan nak cakap lagi.. Aku tau dah aku memang cantik comel.. Sebab tu ko soh mak bapak ko minang aku kan..?
Mamat : Tersenyum (Dalam hati : Ceh masuk troli sorong sendiri la weii..)
Jumaat (2 MINGGU SELEPAS BERTUNANG)
Mamat : Awak2.. Awak tak rase ke apa yang saye rase..? Saye rase macam ade sesuatu yang indah antara kite berdua la.. Setiap kali ingat awak mesti terase yang awak dekat sangat dalam hati saya..
Minah : Ooiitt yang ko nak berjiwang karat sangat ni nape..? Bengkak telinge aku dengar.. Ko ingat ko berjiwang2 ni aku cair ngan ko.. Jangan harap la weii.. Dah2.. Sekarang ko cerita kan dekat aku kisah2 dalam juzu’ amma tu..
Mamat : (Dalam hati : Dia ni memang takde perasaan langsung.. Baru nak jiwang2 dah tak boleh.. Takpe.. Sabar hati.. Sabar..)
Minah : Ooiitt berangan plak.. Aku soh cerite bukan berangan.. Cepat la cite aku nak dengar..
Mamat : Sabar la.. Ngah susun ayat ni.. (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Dia memulakan kisah dari 1 surah ke surah yang lain hingga khatam dalam juzu’ amma tu)
Minah : Alhamdulillah.. Minggu depan kita nikah.. Aku nak sehari sebelum kite nikah ko wat qiamulllaill.. Allah tu Maha Melihat.. Kalau ko tak wat, ko tunggu la mase ko lafaz aku terime nikahnya mesti ko tersangkot2..
Mamat : Taknak la la sy.. Malu la tersangkut2.. Ok2.. InsyaAllah saya wat..
Minah : Tau pulak malu.. Ok.. Lagi 1, hari nikah tu aku nak ko senyum je sepanjang majlis.. Tak kisah la waktu tu ko sedih ke kecewa ke.. Yang aku nak tengok, ko senyum je.. Paham..?
Mamat : Faham.. Awak saya teringin nak tengok awak senyum.. Senyum la awk.. Mesti manis.. Selalu tengok muke garang awak je.. Senyum la sikit wak..
Minah : Ade.. Ade aku kisah.. Tak boleh.. Kalau nak tengok sangat aku senyum, tunggu hari kite nikah t.. Mesti ko tak boleh tidur pas tengok senyuman aku yang menggoda sangat ni tau.. Hahahahahahahaha..
Mamat : Emmmmmm.. Yelaaaaa..

Jumaat (HARI PERNIKAHAN)
Mamat : Dengan sekali lafaz.. “AKU TERIMA NIKAHNYA NURUL IMAN BINTI ISHAK DENGAN MAS KAWIN 80 RINGGIT TUNAI..”
Tok kadi : Sah3..
Minah : Alhamdulillah (Terus dia sujud syukur tanpa menghiraukan orang sekeliling dia)

(SAAT MEMBATALKAN AIR SEMBAHYANG)
Minah : Terima kasih ABANG kerana sudi mengambil NURUL IMAN sebagai isteri abang. Bimbinglah AYANG menjadi isteri yang solehah.. (sambil tangan terketar-ketar tok salam dan cium tangan suci suaminya)
Mamat : Subhanallah.. Terima kasih SAYANG sudi terima ABANG sebagai suami mu.. (sambil mengucup dahi isteri tercinta)

(MALAM PERTAMA)
Mamat : Sayang , abang tak sangka pulak rasenye belum sebulan kite kenal.. Tetibe je dah kawin.. Ajaib betul..
Minah : Tu namanye jodoh.. Kekuasaan Allah bang.. Kite hanya merancang tapi Allah juga yang menentukan segalenya..
Mamat : Sayang boleh abang tanye sesuatu..?
Minah : Tanya la abang,. (Dengan nada suara yang manje)
Mamat : Nape sayang dulu garang sangat ngan abang..? Tapi bile dengan orang tua abang n orang tua sayang cakap sopan..?
Minah : Maafkan sayang abang.. Ayang bukan sengaje nak berkasar dengan abang.. Ayang wat semua tu sebab nak uji sama ada abang sabar tak dengan karenah ayang.. Ayang nak abang terima ayang dengan seadanya.. Sebab sayang taknak kite hilang kemanisan cinta selepas berkawin gare2 abang dah sentuh ayang sebelum kawin.. Ni sekarang kite dah kawin.. Ayang milik abang.. Abang boleh sentuh ayang tanpa kene sound ngan ayang lagi.. Hihihi.. Abang nape abang kawin dengan ayang..?
Mamat : Subhanallah… Terima kasih sayang ku kerana menjaga batasan kita selama ini.. Abang pilih sayang kerana Allah.. Lepas abang wat qiamullai yang sayang suruh wat sehari sebelum nikah baru la abang dapat jawapan bagi perasaan yang tersembunyi antara kita berdua iaitu perasaan cinta.. I LOVE U SAYANG.. Waktu tu juga abang baru sedar ape hikmah nye kenape sayang suruh abang menghafal juzu’ amma dan membace terjemahan nye.. Semua nya indah sayang.. Terima kasih sayang.. Sekarang pun abang sedang berusaha menghafal juzu’2 yang lain…
Minah : Alhamdulillah ya Allah kau kurniakan aku suami yang soleh (sambil tangan ye menadah doa) Abang, nape abang bagi ayang banyak sangat duit hantaran RM 20 ribu dengan kerete ALPHARD sebijik..? Kan ayang dah cakap kalau abang bagi 10 sen pun ayang terima..
Mamat : Sayang.. Anggap la tu hadiah daripada abang.. Berape sangat la nilai nye jika nak dibandingkan dengan nilai seorang isteri solehah cam ayang.. I LOVE U SAYANG UNTIL JANNAH..
Minah : I LOVE U TOOO ABANG.. UNTILLLL JANNAHTUL FIRDAUS.. AMINNNNNNN….

~p/s~ Perempuan yang garang luarannya sebenarye lembut hati nye. Garang dia kerana untuk menjaga maruah dan syariat Illahi. Jangan la dicaci maki perempuan yang garang itu, cume berilah nasihat InsyaAllah hati dia lembut mendengar nasihat mu.. .

Wednesday, December 5, 2012

SUSAHNYA MELAWAN NAFSU

Sukar Untuk Ku =(

Maksudnya: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar.” Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Sebelum ini, sudah dihuraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.

Kata mereka,

“Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”

“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”

“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”

“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”

Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.

Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Disusahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.

Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap- senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.

Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:

1. Susah kerana gangguan mereka.
2. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
3. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.

Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.

Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.

Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:

1. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.
2. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.
3. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.

Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:

1.Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam.

2.Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW: Maksudnya: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”

3. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.

4. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluh-kesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?

5. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.

6. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam. Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir) Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.

7. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek- projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisik-bisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.

8. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniaga-peniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!

9.Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!

10. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.” Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.

11.Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak berdendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.

12. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.

13. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerja-pekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.

14. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengarah-arah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.

15. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan karenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekik-pekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.

16. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.

Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)

Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Siapakah yang dianggap wira itu?” Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).” Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)

Allah SWT juga ada berjanji:

Maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)

Maksudnya: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

Friday, November 23, 2012

Saya suka makan Yogurt =)


Tidak ramai yang menggemari amalan makan yogurt, mungkin kerana faktor rasanya yang masam. Namun yogurt sebenarnya terkandung banyak khasiat yang sangat baik untuk kesihatan dalam badan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Melayukini.net – Kebaikan Amalkan Makan Yogurt |  Tidak ramai yang tahu bahawa badan manusia memerlukan bakteriayang sihat untuk kesihatan saluran pencernaan. Ramai yang maklum dengan fakta ini dan kerana itu, ramai yang mengamalkan makan atau minum minuman yogurt yang diperbuat daripada bakteria baik yang baik untuk mengekalkan kesejahteraan hidup. Yogurt dapat membantu memberi keseimbangan dalam kitaran usus manusia atau bertindak secara langsung pada penghadaman dan sistem imunisasi (ketahanan) badan.
Asas yogurt adalah susu dan amalan makan atau minum yogurt membekalkan protein dan khasiat yang diperlukan tubuh, seperti kalsium, vitamin D, vitamin B2, vitamin B12, potasium dan magnesium.Jom ketahui apakah kebaikan amakan makan yogurt di bawah ini
1. Beberapa strain probiotik meningkatkan kadar imun tubuh
Probiotik bacteria yang terkandung di dalam yogurt dikatakan dapat membantu mencegah penyakit radang usus melalui mengubah mikrofora pencernaan.  Menurut kajian di Taiwan, probiotik dapat meningkatkan pemulihan serta ketahanan tubuh terhadap jangkitan (infeksi) di mana yogurt yang mengandung dua jenis probiotik, iaitu lactobacillus dan bifidobacterium, terbukti memberi kesan positif terhadap pesakit yang mengidap H. pylori infeksi.

2. Bagus untuk wanita lepas bersalin
Bagi wanita dalam pantang yang ingin kembali ke bentuk asal yakni betuk badan sebelum hamil (bertujuan menambat hati suami), khasiat yogurt adalah yang terbaik kerana ia makanan berserat tinggi selain mengandungi pelbagai khasiat diperlukan untuk membekalkan susu kepada bayi.
3. Membantu sistem penghadaman
Bakteria yang terkandung di dalam yogurt berfungsi membantu menghadamkan laktosa (gula semulajadi dalam susu). Bakteria itu bertindak dengan merangsang sebahagian daripada sistem pelalian di dalam salur usus dan menghasilkan keadaan sekitaran yang lebih sihat di dalam usus, menjadikan keadaan itu tidak sesuai untuk organisma tidak baik hidup, di samping memastikan sistem penghadaman dalam tubuh badan berjalan dengan lancar.
4. Mencegah jangkitan pada vagina
Infeksi atau jangkitan Candida pada vagina merupakan masalah yang banyak dialami wanita pengidap diabetes. Menurut kajian, wanita diabetes yang mengambil  yogurt dalam menu seharian mereka didapati mengalami penurunan (pH) serta pegurangan infeksi candida.
5. Meningkatkan kekuatan tulang dan mencegah osteoporosis
Antara khasiat yogurt yang amat tinggi nilainya ialah yogurt mengandungi lebih banyak kalsium, vitamin A, tiamina, niasin dan riboflavin daripada susu.  Di samping itu, yogurt juga kaya dengan zat besi, fosforus dan kalium.
6. Menurunkan kadar kolesterol
Yogurt, susu asidophilus (dari bakteria L. acidophilus) dan susu bifidus (dari bakteri a Bifidobakterium bifidum) mampu menurunkan kolesterol darah. Ini adalah kerana zat faktor antikolesterol yang mencegah kerja enzim pembentuk kolesterol. Pengurangan kolesterol juga terjadi kerana pertumbuhan bakteria akan menyerap sejumlah zat kolesterol ke dalam selnya. Penyerapan ini berlaku di usus kecil dan membantu mengurangi kolesterol dalam darah.
7. Membantu mengurangkan berat badan
Menurut kajian terbaru yang telah diterbitkan di dalam International Journal of Obesity, 2005, hasil kajian mendapati responden yang mengambil yogurt rendah lemak di dalam hidangan mereka didapati dapat mengurangkan berat badan kerana kandungan kalsium di dalam yogurt.
Melayukini.net - Yogurt sememangnya makanan yang amat baik untuk diamalkan setiap hari. Namun tidak juga yang ramai mengegemarinya kerana mungkin ia seperti memakan susu masam. Namun itu pada permulaan. Jika sudah biasa, rasa masam itu akan menjadi sedap. Cubalah amalkan yogurt setiap hari.

Thursday, November 15, 2012

Cerita Ku : Tahun Baru

Berdoa hanya padaMU 
Kau kuatkanlah hatiku sepanjang tahun ini YA ALLAH
KAU bimbinglah diriku dari segala tipu muslihat syaitan
KAU hiaskanlah peribadiku dengan kalimah AL-QuranMU
Sebagai insan yang bahagia
dan membahagiakan insan lain di dunia MU yang sementara
Serta kekalkanlah kebahagiaan sentiasa disamping keluargaku yang tercinta
Permudahkanla YA ALLAH segala urusan dan pengajian ku di UKM.
Agar aku boleh meraih segulung ijazah dengan berbekalkan keimanan.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Cerita Ku : Mencari Bahagia Bersama MU

Tuhanku
sering kali ku sendu
terkadang kurasa pilu
Selalu juga didatangi sedih dan sayu
Hinggakan tersirna rasa syukurku
Malah pernah juga aku buntu
Namun...
Aku tak berhenti mengharapkan rahmat-Mu
Engkau kabulkanlah munajat tulusku

Kusedari
Tiap kali aku mohon daripada-Mu kebahagiaan
KAU temukan aku dengan ujian
Kerna tiada erti bahagia tanpa derita
Tiap kali aku mohon daripada MU kekayaan
KAU tetapkan untukku pekerjaan 
Kerana tiada kekayaan tanpa usaha pekerjaan
Tiap kali aku mohon daripada MU kesihatan
KAU datangkanku pelbagai kesakitan
Kerana sihat dirasai hanya selepas sakit


Thursday, November 1, 2012

“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”